Tanggal 15.6.2010 penulis memulakan pekerjaan baru di sebuah syarikat swasta di kawasan Sungai Petani,Kedah setelah 3 bulan berpenat menjalani kursus pekerjaan di Bukit Mertajam,Pulau Pinang. Dengan jawatan sebagai Chemical Engineer di sebuah syarikat pembuatan alat perubatan ini penulis mula membuat perancangan masa depan melihat kepada gaji yang ditawarkan agak berpatutan dengan penat lelah berkursus selama 3 bulan. Pada hemat penulis,rezeki di sinilah merupakan langkah pertama penulis membina sebuah kehidupan yang mana ianya amat berhajat kepada pengurusan yang teratur dan perancangan yang teliti.
Penulis mula bertugas pada hari pertama iaitu hari Selasa di bahagian Anodizing,iaitu salah satu bahagian yang mana produk-produk yang baru sampai akan melalui proses dying, testing material, anodizing, neutralize dan penulis terlibat dengan proses pengujian tanki-tanki proses iaitu tanki asid,alkali,air dan neutral. Setiap hari penulis akan masuk makmal kimia untuk menjalankan acid and alkaline titration dan juga water calibration. Inilah tugas harian penulis sebagai Jurutera selama beberapa bulan di situ. Alhamdulillah dengan pekerja-pekerja di situ amat baik hubungannya dengan penulis seperti technician, supervisor, operator dan juga clerk menjadikan penulis sentiasa ceria dan semangat bekerja di situ.
Namun, di sebalik awan yang mendung itu rupanya ada langit gelap yang datang membawa kilat sabung menyabung, petir kuat berdentum. Penulis diuji dengan seorang rakan sejawatan yang hanya dikenali sebagai S.syukur penulis mampu bersabar selama beberapa bulan di situ. Sebenarnya ada seorang engineer S ini di makmal itu yang sangat tajam lidahnya berbicara sehingga tidak dinafikan kadang-kadang membuatkan penulis menangis dan bertanya kepada diri penulis,’ adakah betul tindakan aku ini? Sampai bilakah harus aku bersabar?’. Penulis melalui hari-hari dengan hanya bertawakal kepada Allah. Hampir setiap hari penulis dimarah, diejek dan diherdik dek kerana tersilap baca thermometer, basuh bikar tidak betul, salah menulis report, goncang bikar larutan terlalu perlahan dan kesilapan-kesilapan kecil yang lain.
Dengan kelulusan yang dimilikinya lebih tinggi dari penulis tetapi sama gaji yang dibayar mungkin juga menjadi persoalan kepada ketidakpuasan hatinya sehingga setiap kesalahan penulis dalam hal-hal yang remeh sentiasa menjadi sebab untuk beliau memarahi penulis. Penulis masih lagi ingat pada hari pertama kami sama-sama masuk kerja. Penulis tidak ingat lab procedure, lalu apabila ditanya kepadanya bagaimana proses ini? S terus marah bertubi-tubi dengan pelet utaranya,’hang ni tak layak jadi pemimpin! Benda mudah macam ni pun hang tak boleh handle! Lembap! Apalah lelaki macam ni!’ penulis hanya diam tidak terkata walaupun sepatah. Memang salah penulis tidak menulis tetapi mengapa marahnya luar biasa sekali seolah-olah ada sesuatu yang lain sememangnya beliau tidak puas hati?
Penulis terus pergi solat dhuha dengan berdoa sambil menangis. Setiap kali berdoa penulis akan bertanya kenapa aku diberi ujian sedemikian rupa ya Allah. Adakah aku salah atau bala buatku? Selepas solat penulis menghantar mesej kepada kakak penulis yang lebih memahami hati perempuan.’kak,nok tanyo mu sket nih.ado sorang budok tino tepak adik kijo ni dok mugheh sokmo,maki hamun ikut dan joh.adik raso xtahan dahni.kalu adik boh sedas gumano,buleh dop?’ penulis cuba bertanyakan pendapat untuk menghilangkan rasa sedih dan tidak maya di hati ini. Kakak penulis menjawab,’heh.. mu jangan dok wak kijo gilo tuh. Mu tu orang reti ugamo,keno pike molek2. Jangan jadi ilmu tu fitnah ko mu. Sabar banyak2,sebab tu tuhan beghi akal lebih ko orang laki.’ Hatiku beransur tenang dengan suntikan nasihat yang berguna dari kakak.
Penulis teringat nasihat seorang ahli hikmah yang masyhur bernama Luqman Al-Hakim. Nasihat beliau kepada anak-anaknya dirakamkan oleh Allah di dalam surah Luqman,
‘dan bersabarlah wahai anakku dengan segala ujian yang menimpamu,kerana sesungguhnya yang demikian telah termaktub di dalam urusan taqdir’ (Luqman 31 : 17)
Manusia ini sangat lemah, termasuk diri penulis. Kadang-kadang hati ini teramat berat menerima ujian ilahi, sedangkan taqdirNya tidak pernah menyalahi dari satu hikmah yang besar. Dia jauh lebih mengetahui setiap sesuatu. Hal ini jugak mengingatkan penulis satu ayat dalam surah Al-Baqarah,
‘boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya baik bagi kamu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal tidak baik bagi kamu.sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui’.(Al-Baqarah 2 : 216)
Justeru,sabar adalah kunci manakala doa adalah senjatanya. Suatu hari dengan izin Allah,seorang operator nampak yang dia sedang memarahi penulis. Lalu terjadilah satu bualan di dalam department itu. Ada seorang operator yang penulis memanggilnya dengan nama Y. dia bertanya kepada penulis,’awat dia dok marah hang suka2 hati ja? Awat,dia gheja sini lama sangat dah ka sampai boleh marah orang macam tu?’. Penulis cuba back up,’xpalah kak,dia rasa senang lagu tu..biaq p la.’ Hari demi hari nama dia disebut-sebut di kalangan pekerja-pekerja. Sehinggakan ada kawan-kawan suruh penulis penampar sahaja,biarkan dia serik dan sedar dengan kesombongannya. Tetapi,dengan secebis ilmu di dada ini penulis mampu beza di antara hak dan batil. Penulis cuba bersangka baik dengan dia,mungkin di rumah S terlalu tension atau hatinya sakit dengan sesuatu seperti cemburu gaji S sama dengan penulis sedangkan kelulusannya tinggi atau juga sebab-sebab lain. Inilah namanya rezeki.
Penulis teringat satu sirah di mana ada seorang sahabat ini beliau tertekan dengan perangai isterinya yang suka marah dan maki hamun beliau. Lalu beliau pun pergi ke rumah khalifah Umar untuk meminta nasihat. Apabila beliau menjejak kaki di pintu rumah khalifah itu beliau terdengar isteri khalifah itu membebel dan mengherdik kepada khalifah. Lalu beliau pun berpatah balik, tetapi kedatangan beliau disedari khalifah lalu khalifah memanggilnya dan bertanya apa hajatnya kedatangan beliau. ‘aku datang untuk meminta nasihatmu kerana isteriku selalu memarahiku,tetapi bila aku sampai di rumah khalifah rupa-rupanya khalifah yang tegas seperti kamu juga berdiam sahaja apabila dimarahi.sebab itulah aku pun pulang kerana nasibmu juga seperti aku’,kata beliau. Lalu dijawab khalifah Umar,’aku berdiam bukan kerana takut tetapi aku memikirkan terlalu banyak pengorbanan mereka. Mereka mengandungkan anak, melahirkan anak,menyusu dan membesarkan anak. Mereka juga membasuh pakaian kita, menyediakan makan minum buat kita. Maka apakah salahnya mereka marah kita kerana terbeban dengan kerja-kerja rumah. Mereka lebih bersabar dari kita.’
Subhanallah,rupanya terlalu sedikit ujian yang penulis terima ini. Alangkah mulianya orang yang bersabar ini. Nabi SAW bersabda,’cabang iman yang paling besar ialah sabar,manakala ratingnya yang paling kecil ialah membuang benda yang menghalang lalu lalang orang’. Inilah fasa yang lazimnya akan dilalui setiap orang. Cuma kadarnya sahaja yang berbeza mengikut tahap keilmuan seseorang. Baginda pernah disimbah najis oleh orang yahudi, pernah dilempar tahi ketika solat, diancam bunuh oleh musyrikin makkah, dipulau jual beli dengan Bani Hasyim selama 3 tahun dan banyak lagi ujian-ujian yang Allah berikan kepada baginda. Allah tahu, baginda selayaknya menerima ujian sehebat itu. Bayangkan jika kita di tempat baginda, sudah pasti berperang, bergaduh, putus persaudaraan dan sebagainya. Inilah yang dikatakan Keadilan Allah SWT.
Sebenarnya sudah banyak kali penulis melihat kesalahan-kesalahan S di makmal, bahkan ada juga salahnya yang sangat sirius seperti menumpahkan asid di dalam makmal. Walaupun insiden itu berlaku betul di depan mata kepala penulis, tetapi penulis tidak pernah langsung memarahinya kerana penulis merasakan yang S juga manusia biasa yang lemah. Beginilah senario kehidupan, manusia kadang-kadang amat sukar menilai dirinya tetapi amat mudah mencari kesilapan orang lain tanpa memikirkan fitrah dan hakikat kemanusiaan yang penuh dengan kekurangan. Jadi,berhati-hatilah dengan kehidupan ini kerana di dalamnya ada 1001 macam ujian yang datang silih berganti tanpa mengenal erti penat dan lelah. Penulis cuba meneruskan perjalanan dalam mencari erti kehidupan ini di sini. Hari demi hari,minggu demi minggu,bulan demi bulan akhirnya penulis diberi anugerah pertolongan yang terlalu besar iaitu penulis mendapat tawaran bekerja di sektor kerajaan. Alhamdulillah segala pujian buat Allah Maha Agung.
Allah sangat hebat kan, Dia Maha Memahami perasaan dan penderitaan hambaNya. Setelah Dia menguji penulis dengan kesakitan rohani, akhirnya Dia memberi nikmat yang berlipatkali ganda nilainya daripada sedikit kesakitan sebelumnya. Genap 4 bulan setengah,pada 9.9.2010 penulis dapat tawaran berjaya temuduga di Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai Penolong Jurutera Kimia (Chemical Assistant Engineer). Sebenarnya dalam diam-diam bekerja di situ penulis dipanggil ke temuduga pada 27.07.2010 di SPRM Pulau Pinang. Inilah yang penulis ingin mengutarakan kepada pembaca Perjalanan Ubudiyyah semua bahawa dalam hidup ini amat memerlukan kesabaran yang tinggi dalam mencari erti kehidupan……
(insyaAllah coretan akan datang penulis akan menceritakan pengalaman di tempat kerja baru pula..)
1 comments:
sekadar perkongsian pengalaman..
Post a Comment